Format Piala Dunia FIFA

Kelayakan

Sejak kejohanan bola sepak Piala Dunia kedua pada 1934, pertandingan kelayakan telah diadakan untuk mengurangkan jumlah pasukan di pusingan akhir. Ia telah diadakan di setiap zon benua FIFA (Afrika, Asia, Amerika Utara, Timur Tengah dan Caribbean, Amerika Selatan, Oceania, Eropah) yang diselia oleh konfederasi gabungan masing-masing. Bagi tiap-tiap pertandingan, FIFA memutuskan bilangan tempat yang dihadiahkan pada setiap zon sebelum ia bermula berdasarkan kekuatan relatif pasukan-pasukan konfederasi, dan juga bergantung kepada aktiviti melobi daripada konfederasi.

Proses kelayakan boleh bermula seawal tiga tahun sebelum pertandingan pusingan akhir dan yang paling lambat dalam jangka waktu dua tahun. Format kelayakan bagi sesebuah pertandingan berbeza di antara setiap konfederasi. Biasanya, satu daripada dua tempat dihadiahkan kepada pemenang perlawanan-penentuan antara benua. Sebagai contoh, pemenang antara zon Oceania dan pasukan tempat kelima daripada Amerika Selatan memasuki perlawanan-penentuan untuk memutuskan pasukan mana layak untuk ke Piala Dunia 2006.[11]. Daripada Piala Dunia 1938 dan seterusnya, negara tuan rumah menerima tempat automatik dalam pusingan akhir. Kelebihan ini juga telah diberikan kepada juara bertahan, tetapi mulai 2006 dan seterusnya, kelebihan ini ditarik balik yang memerlukan juara untuk melayakkan diri seperti negara-negara yang lain.[12].

Pusingan akhir

Pertandingan pusingan akhir yang terkini memaparkan 32 pasukan kebangsaan bertanding selama sebulan di negara tuan rumah. Terdapat dua pusingan, satu peringkat kumpulan dan satu lagi peringkat kalah mati.

Di dalam peringkat pertama (peringkat kumpulan), pasukan-pasukan akan dibahagikan ke dalam lapan kumpulan yang mengandungi empat negara. Lapan pasukan pilihan berdasarkan kedudukan ranking diletakkan dalam kumpulan berbeza. Pasukan lain diundi secara rawak. Semenjak 1998, kekangan diberikan pada cabutan untuk memastikan bahawa tiada kumpulan mengandungi lebih daripada dua pasukan Eropah atau lebih daripada satu pasukan daripada setiap konfederasi yang lain. Setiap kumpulan bermain satu pertandingan pusingan-peringkat kumpulan, memastikan bahawa setiap negara yang layak dapat bermain paling kurang tiga perlawanan. Perlawanan terakhir peringkat kumpulan akan diadakan serentak untuk menghalang sebarang pakatan di antara negara-negara. Semenjak 1994, tiga mata diberikan kepada satu kemenangan, satu mata kepada seri dan tiada mata yang diberikan kepada kekalahan (sebelum ini, pemenang hanya menerima dua mata). Dua pasukan teratas akan berjaya melayakkan diri ke peringkat kedua (peringkat kalah mati).

Peringkat kalah mati adalah perlawanan penyingkiran di mana setiap pasukan berlawan sesama mereka dalam perlawanan tunggal, dengan masa tambahan dan tendangan penalti digunakan untuk menentukan pemenang, sekiranya perlu. Dalam pusingan 16, pemenang setiap kumpulan akan menentang naib juara kumpulan lain. Ini akan diikuti pada peringkat suku akhir, separuh akhir dan perlawanan akhir. Pihak yang kalah pada peringkat separuh akhir akan berlawan dalam penentuan tempat ketiga.

Rujukan

WikiPedia: Piala Dunia FIFA http://www.fifa.com/en/history/history/0,1283,4,00... http://www.fifa.com/en/index.html http://www.fifa.com/en/marketing/newmedia/index/0,... http://www.fifa.com/fifa/pub/newsletter/fifanews.6... http://www.fifa.com/infoplus/IP-201_02E_WC-origin.... http://www.fifa.com/mm/document/fifafacts/mcwc/ip-... http://www.fifa.com/tournaments/archive/worldcup/b... http://www.fifa.com/tournaments/archive/worldcup/u... http://www.fifa.com/worldcup/index.html http://www.planetworldcup.com